Ahad, 4 November 2012

Sedetik Catatan Buat Guru

Dengan Nama Allah Yang Maha pengasih Lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhamad SAW,isteri-isteri baginda, para sahabat,para tabiin , para-para ulamak dan seluruh umat Islam yang beramal soleh dan berpegang dengan tali Allah swt.
       Bersyukur kehadrat Allah swt kerana pada malam ini masih memberi kekuatan kepadaku untuk menulis lagi setelah sekian lama tidak menulis di dalam blog ini. Dek kesibukan kehidupan seharian yang dipenuhi dengan pelbagai tugasan dan tanggungjawab telah menyebabkan diriku terlupa seketika blog akuguru ini. Sedar atau tidak minggu ini merupakan minggu terakhir seorang murid akan belajar di sekolah dan seorang guru akan pergi mengajar di sekolah secara berjadualnya. Ya Allah begitu cepat masa berlalu. Minggu ini juga bermacam-macam perkara yang perlu dilakukan. Bermula dengan hari ini, perhimpunan terakhir, esok hari graduasi Pra sekolah , lusa Jamuan Akhir tahun 6, tulat Lawatan ke Pusat Sains negara Cawangan Utara dan Khamis jamuan akhir Kelab guru dan kakitangan. Semuanya perlukan penglibatan semua pihak. Begitulah sedikit gambaran tugas guru di sekolah. Sebenarnya banyak lagi tugas yang perlu dilakukan pada saat akhir ini. Namun saya tidak mahu memperincikan tugas-tugas ini dengan cukuplah saya perkatakan memang banyak perkara yang perlu guru lakukan. Setiap guru ada perkara yang perlu dilakukan.
        Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Namun sebagai seorang guru semua tugas-tugas ini perlu dilakukan. Ini memang tugas yang perlu dibereskan. Kepada guru baharu, mereka mungkin agak terkejut dengan tugas yang begitu banyak. Semasa belajar di maktab atau IPG semua tugas sampingan ini tidak pernah didedahkan kepada mereka. Sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga sebagai guru atau rakan guru yang lama mungkin mereka tidak tahu hakikat akan kesibukan ini. Nampak seperti senang, hidup sebagai seorang guru, cuti banyak, balik awal, petang boleh buat kerja tambahan, sebenarnya tugas ini amat sukar. Sekiranya tidak diberi cuti nescaya ramai guru akan terpaksa dimasukkan ke wad sakit jiwa atau hospital bahagia dek tugas yang banyak dan kerenah pelajar ditambah dengan kerenah ibubapa dan waris. Itu belum ditambah lagi dengan kehendak pemimpin masyarakat dan campurtangan politik. Pening kepala dibuatnya.
        Apapun sebagai seorang guru kita perlu terima semua ini kerana kita masih lagi berpegang kepada tugas guru adalah tugas yang mulia disisi agama. Kesempatan ini saya menyeru kepada semua guru supaya selesaikanlah semua tugasan anda dan ambiklah masa cuti anda untuk bercuti demi menyegarkan semula semangat, akal fikiran dan buangkanlah stress kerja selama setahun ini untuk meningkatkan mutu pengajaran anda pada tahun hadapan. Semua kekuatan yang ada pada diri anda kekalkanlah dan murnikan lagi demi mendapat kepuasan kerja dan kejayaan anak didik anda. Segala kelemahan diri bermunasabahlah dan buangkan ke tepi atau jadikan ia bernilai untuk mencapai kejayaan pada tahun hadapan. Bermohonlah keampunan kepada semua anak didik anda dan juga kepada Allah swt di atas kelemahan diri anda yang tidak mengajar, tidak menyemak latihan murid, tidak masuk awal di dalam kelas, keluar awal dan bermacam-macam lagi kekuarangan yang anda lakukan semasa bertugas pada tahun ini. Sama-samalah bermaaf-maafan antara semua guru kerana amalan bermaafan ini akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Buang yang tidak elok dan amalkan yang baik-baik belaka.
        Semoga pada tahun hadapan kita akan terus menjadi guru dengan azam yang baharu dan semangat yang kental demi meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Sekali jadi guru terus menjadi guru. Dimana-mana orang akan panggil cikgu walaupun kita telah meninggal dunia. Itulah guru.

                                                                                            Nukilan : Buat semua guru di Malaysia.

Sabtu, 11 Ogos 2012

Ramadhan 1433 H


             Alhamdulillah , pada hari ini aku berkesempatan untuk menulis di blog ini sejak beberapa bulan tidak membuka dan menulis di ruang ini. Bukan malas hendak menulis .tetapi terlalu banyak perkara yang mesti dibereskan dahulu sehinggakan aku terlupa bahawa sudah lama aku tidak menjenguk di blog sendiri.
Alhamdulillah ,syukur kehadrat Allah kerana masih diberi kesempatan untuk aku dan semua rakan menunaikan ibadat puasa hingga ke hari ini. Madrasah Ramadhan ini cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi. Fasa ketiga ini Allah menjanjikan pembebasan api neraka kepada hambaNya yang berpuasa dan diberikan satu malam iaitu Lailatul Qadar. Ayuh semua marilah kita lipat gandakan ibadat kita dan sama-sama kita hidup malam-malam yang terakhir ini dengan beribadah kepada Allah. Rebutlah peluang ini kerana kita mungkin tidak akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Mahu atau tidak tidak berapa lama lagi ramadhan akan meninggalkan kita. Itu adalah hakikatnya, bagi kita adakah ramadhan akan meninggalkan kita atau kita yang akan pergi dahulu daripada Ramadhan. Disamping itu , keluarkanlah zakat fitrah untuk menyucikan fitrah kita dan perbanyakkan sedekah kerana perbuatan itu amat mulia di sisi Allah.
Bersama-sama ini saya ingin berkongsi maklumat tentang ibadat puasa. Sebagaimana diketahui puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadat yang difardhukan oleh Allah s.w.t.. Dalam erti kata lain setiap orang Islam yang melakukannya hanya kerana mematuhi perintah Allah s.w.t. dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadaNya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Sebagai natijah daripada ibadat tersebut.
Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i.                     Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.
ii.                   Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.
iii.                  Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepadaNya.
iv.                Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifatsifat keras hati dan keterlalulan.
v.                 Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.

Firman Allah s.w.t dalam Surah alBaqarah, ayat 183:
Maksudnya: Hai orangorang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orangorang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu, iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah s.w.t dan mengutamakan keredhaanNya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orangorang yang dihadapkan ayatayat alQuran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah s.w.t dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa dihadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.
Semoga kita mencapai tahap ketaqwaan melalui ibadat puasa Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini. Amin.

Rabu, 8 Februari 2012

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.
        Alhamdulillah,hari ini Allah telah mengizinkan tangan dan jari jemari ini menulis kembali setelah sebulan tidak berkesempatan menuliskan sesuatu di sini. Maklum sajalah sebagai seorang guru pada awal-awal tahun memang banyak perkara yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah semua perkara yang penting-penting telah dibereskan,yang tinggal cuma saki-baki yang tidak berapa penting.
         Pada tahun ini berlaku banyak perubahan di dalam pekerjaan kami, semua perkara yang tidak berkaitan dengan P&P hendaklah dilakukan diluar waktu tersebut. Ini termasuklah segala macam mesyuarat dan program. Mesyuarat Panitia yang sebelum ini dilakukan pada penghujung waktu persekolahan telah diubah ke waktu petang dan ada sekolah buat pada waktu malam.
           Sambutan Maulidur Rasulpun dijalankan pada waktu cuti sekolah. Itulah perubahan yang dibawa oleh pengarah pelajaran kami yang baharu iaitu En Mansor bin Lat. Tahniah diucapkan kerana dapat menyampaikan arahan dan dapat dipatuhi oleh semua sekolah di kedah. Apapun sebagai seorang yang menurut perintah,semua orang akur walaupun ada yang merungut. Rungutan memang akan berlaku pada awal pelaksanaannya. Semuanya itu akan berakhir apabila telah menjadi budaya kerja apabila sentiasa dijalankan setiap masa.
          Sedar tak sedar masa sudah berlalu sebulan. Rungutan dan pelbagai peristiwa penghujung tahun dan awal tahun telah menjadi sejarah. Pemberian bantuan persekolahan RM100 telahpun dilupai oleh semua rakyat Malaysia. SBPA menjadi tanda tanya. Angan-angan kakitangan yang akan membeli kereta baru terpadam begitu sahaja dek kerana penangguhan SBPA. Bantuan Rakyat 1 Malaysia pun semakin tidak disebut orang. Sebagai seorang guru,semuanya itu bagaikan satu mimpi dan kini hilang begitu sahaja. Yang tinggal ialah usaha yang berterusan untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada anak didik supaya menjadi orang yang berguna dan berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
         Baru-baru ini , ramai-ramai rakan-rakan guru telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah sarjana muda pendidikan Program Pensiswazahan Guru (PPG). Ada yang gembira dan ada yang sedih walaupun menerima tawaran tersbut.Yang gembira kerana dapat belajar di institusi yang dekat dengan rumah dan program yang diminta telah ditawarkan. Yang sedih sebab dapat opsyen lain dan jauh dengan rumah. Apapun jika ingin berjaya mesti ada pengorbanan. Pendek kata kena susah dahulu baru boleh senang. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua rakan guru yang terpilih oleh Allah untuk meneruskan pengajian mereka dan memartabatkan lagi profesyen keguruan.

Rabu, 4 Januari 2012

HARI PERTAMA BERTUGAS DI TAHUN BAHARU 2012

Alhamdulillah seperti biasa aku memulakan tugasku sebagai seorang guru pada hari ini 3 Januari 2012. Sebagai seorang guru berpengalaman bukanlah sesuatu yang baharu bagiku. Cuma bezanya hari ini merupakan tahun baharu 2012 dan aku telah menjadi guru selama 20 tahun rupanya. Lama juga kalau direnungkan masa itu,namun bagi diriku ia seolah-olah seperti baru semalam ia berlalu. Mengajar di SK Tandop Besar nipun dah masuk 13 tahun dah. Namun dek kerana rakan taulan sering bertukar dan guru besarpun acapkali bertukar juga aku merasakan macam baru sahaja masuk ke sekolah ini.
      Antara faktor lain ialah mungkin semasa mula bertugas di sini bangunan masih lama dan kini hampir 10 tahun berada di bangunan baharu. Keadaan sekeliling seperti keindahan lanskap sekolah juga menjadikan diri ini terasa baharu sahaja bertugas di sini. Apapun aku suka dengan sekolah ini. Aku suka dengan rakan-rakan sejawat di sini . Lebih menawan hatiku di sini ialah anak-anak didik yang pelbagai kerenah dan para waris yang menyanjung tinggi pengorbanan guru. Mungkin daerah ini agak pedalaman sedikit jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain,namun apapun keselesaan berada dan bertugas di sini memang terasa amat.
     Pada tahun ini aku diberi tugas mengajar BM tahun 4,KH tahun 5 dan 4 dan PJPK Tahun 3.Mata pelajaran yang memang aku minat untuk mengajar.Pagi ini juga kami telah didatangi oleh seorang pelawat dari PPD Padang Terap yang ditugsakan memantau perjalanan sekolah hari pertama. Kami berasa bertuah sebab didatangi oleh seorang sahaja pegawai PPD ,tidak seperti sekolah lain yang didatangi oleh Jemaah Nazir dan juga pegawai dari JPN. Apapun tugas kita ,kita buat.Tugas mereka hendak memantau.Biarkan mereka membuat tugas mereka.
     Aku terasa terkilan sedikit hari ini kerana tidak dapat melakukan P&P PJ pada waktu pertama kerana waktu ini digunakan untuk mengadakan perhimpunan hari pertama persekolahan. Walau bagaimanapun semua kelas berjaya aku masuk pada hari ini dan dapat menjalankan pengajaran seperti yang telah dirancangkan. Alhamdulillah semua muridku dapat mengikuti kelasku dengan baik dan menyiapkan tugasan yang diberi dengan memuaskan. Pada tahun ini permulaan kelas ( set induksi ) aku ubah dengan mengadakan sedikit tazkirah kepada murid tentang ketuhanan. Walaupun 5 minit cuma,rasanya aku cukup berpuas hati kerana mereka mungkin akan dapat yang 5 minit ini sebagai bekalan dan panduan menjadi muslim sejati. Bagi aku apa guna jika pandai dalam pelajaran teta[pi jiwa kosong tanpa iman.
      Rasanya amalan ini perlu diteruskan agar semua muridku terdidik dengan bekalan akhirat selain bekalan dunia. Sekurang-kurangnya dapat membantu ustaz dan ustazah kearah memantopkan lagi jiwa insan itu.Semoga sedikit kisahku di hari pertama persekolahan ini menjadi penguat azamku untuk terus menjadi seorang guru.

Isnin, 2 Januari 2012

Azam Tahun Baharu - Puasa Isnin dan Khamis

  Puasa Pada Hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
                        
Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menjadi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)

 Dengan berpuasa , kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."
                        Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
         Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka marilah kita sama-sama berpuasa sunat sepanjang tahun.

Ahad, 1 Januari 2012

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI 2012

 
Salam buat semua rakan yang mengenali diri ini semoga dirimu semua sentiasa berada di dalam peliharaan Allah swt selalu hendaknya. Hari ini 01.01.2012 merupakan hari baharu pada tahun baharu 2012. Ini bermakna kita bertambah usia setahun lagi dari segi perkiraan dunia. Perkiraan kematian bermakna kita semakin dekat dengan ajal yang telah dijanjikan oleh Allah yang telah tersurat untuk kita.Kepada rakan-rakan yang bangun awal pada pagi ini saya ucapkan tahniah kerana anda berjaya menjadi seorang manusia yang kuat dan lebih-lebih lagi bangun dan menunaikan perintah Allah yakni sembahyang subuh. Yang cemerlang lagi dapat solat subuh berjemaah di masjid atau di surau atau di rumah bersama ahli keluarga. Sepatutnya inilah yang berlaku kepada kita semua sebagai hamba Allah yang bersyukur.


      Namun dalam banyak hal, pada pagi ini ramai yang bangun lewat dan tertinggal solat subuh. Jika ditinjau dan dibuat kajian beginilah situasi pada pagi tahun baharu Masehi. Kenapa jadi begini?Jawabnya sebab semalam ramai yang berjaga malam untuk menyambut detik 12 malam penanda masuk tahun baharu. Akibatnya ramai yang tidak dapat bangun awal pada pagi ini.
      Sekarang kita dapat lihat agak berlakulah sedikit perubahan dalam program ambang tahun baharu dimana ada pihak-pihak yang mengadakan program sambutan bercorak keagamaan seperti solat maghrib berjemaah,kuliah maghrib,solat isyak berjemaah,ceramah perdana tentang tajuk-tajuk sebagai individu muslim dan bermacam-macam program yang baik-baik. Namun budaya sambutan fesyen lama masih popular dan menjadi kegilaan anak muda masa kini. Budaya berhibur dengan konsert-konsert yang melalaikan dan bergaul bebas antara lelaki dan wanita dilihat sebagai satu budaya dalam masyarakat. Yang paling menghairankan pihak pemimpin turut sama hadir di dalam majlis sebegini dan tidak nampak rasa ingin mengubah fenomena ini ke arah yang lebih baik. Ini menunjukkan pihak kerajaan juga turut sama menjadikan rakyatnya rosak disebabkan pengajuran program yang begini.Tidak perlu dijelaskan lagi kerana semua pihak maklum dengan perkara ini.Maksiat dan persetubuhan haram berlaku cukup banyak pada malam tadi. Akibatnya kita akan mendengar berita anak dibuang pada bulan september dan oktober nanti.Bulan-bulan ini merupakan bulan pembuangan bayi. Pada masa itu,kita akan mempersalahkan individu tersebut dan orang itu serta orang ini. Sebenarnya kita terlibat sama kearah menyumbangkan perkara ini.
        Marilah kita merenung sejenak dengan apa yang berlaku semasa sambutan tahun baharu Hijriah. Sepatutnya sambutan tahun baharu inilah yang kita sambut sebab tahun baharu kita. Ini sebaliknya yang berlaku.Jika ini berlaku maknanya kita masih terikat dengan budaya penjajah. Kita mengaku kata merdeka,namun merdekakah kita jika masih lagi menyambut tahun baharu penjajah.Cukup sekadar mengingati dan mengucap syukur apabila tiba tahun baharu masehi kerana tahun ini digunakan secara antarabangsa di seluruh dunia.Semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dengan perkara-perkara yang berlaku di dalam negara kita.
        Akhir kalam saya dan seisi keluarga sekali lagi ingin mengucapkan salam tahun baharu 2012 untuk semua pembaca dan sahabat handai yang mengenali diri saya. Begitu juga bekasan anak didik saya yang menbaca coretan ini tak kira dimana anda berada. Semoga tahun baharu 2012 ini akan menjadikan anda semua sebuah kejayaan dan pencapaian yang lebih baik. Kata bijakpandai semalam adalah sejarah,hari ini adalah kenyataan dan esok belum pasti. Oleh itu kejarlah peluang yang ada pada hari ini sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan pada esok hari semoga sejarah semalam yang ditinggalkan adalah sejarah yang gemilang buat pedoman orang kemudian.
        Sekian.