Jumaat, 30 Disember 2011

Apakah Azam Tahun Baharu Anda?


Menjelang sahaja tahun baru pasti ada azam yang akan dibuat. Mungkin azam yang lama dan ada yang baru. Tidak kurang juga ada individu yang tidak berbuat azam (mungkin hidup sudah cukup berjaya..). Bukan mudah hendak berazam, lebih mudah bercakap berbanding melaksanakannya tetapi sebagai individu seeloknya kita memiliki azam. Azam memberikan kita panduan untuk meneruskan hidup dalam setahun.
Bila kita sebut tentang tahun baru,tidak kisah tahun baru Hijrah atau tahun baru Masihi, pastinya perkataan yang paling sinonim ialah Azam Tahun Baru. Hal ini kerana manusia sering mencari satu titik baru dalam hidup untuk melakukan penghijrahan. Contoh,Amin seorang pelajar yang malas,dia sedar dirinya malas dan dia ingin lakukan perubahan. Jadi dia berazam di tahun depan dia akan mula rajin. Saya yakin,ramai di antara kita sama dengan Amin.
Dan hampir semua orang menjadikan tahun baru sebagai titik permulaan balik(restart point) sebagai seorang yang berguna, seorang yang rajin,muslim yang bertaqwa dan sebagainya. Jadi,apa azam anda tahun ini? Menjadi seorang muslim yang bertaqwa? Menutup aurat dengan sempurna? Berkahwin? Dapat 10 A dalam SPM? Simpan azam anda di dalam hati dan akal anda, pastikan ia menjadi sumber inspirasi anda untuk berjaya di dunia dan di akhirat,sebabnya kita akan berbincang soal sebelum kita berazam iaitu muhasabah azam lama.
Kita sering berazam untuk berubah tetapi jarang benar kita bermuhasabah sebelum kita mulakan azam baru. Ya kita boleh tinggal jahiliah di dalam diri kita begitu sahaja,buang dari hati kita dan terus dengan azam baru tetapi tindakan yang terbaik,sebelum kita buang jahiliah yang ada di dalam hati kita, kita teliti dahulu satu persatu kenapa kita perlu berubah, dari sudut mana kita patut berubah, apakah perangai-perangai yang patut kita elak dan sebagainya supaya titik-titik hitam yang ada dalam diri kita menjadi peringatan kepada kita supaya tidak mengulanginya lagi.
Rasakan diri sudah sempurna?
Puas berfikir apakah dosa harian kita?
Fikir dari bangun tidur sampailah kita pejamkan mata kembali,masih tiada dosa?
Fikir lagi,muhasabah lagi,bagaimana ibadah kita.
Masih sempurna? Solat pun kusyuk?
Fikir lagi,muhasabah lagi,ikhlaskah kita.
Juga sempurna?
Fikir lagi,muhasabah lagi sampai kita letih,sebab itulah cara muhasabah yang terbaik yang disebut di dalam Al-Quran.
Semua orang tahu bahawa Surah Al-Mulk dibaca sebelum tidur. Saya tidak ingin sentuh tentang fadhilatnya tetapi yang pasti, ianya menjadi amalan oleh Rasulullah. Kalau di sekolah saya dulu, selepas solat Isyak berjemaah, kami diwajibkan membaca surah Al-Mulk secara berjemaah tapi jujurnya, kami hanya mengejar fadhilatnya jadi kami tidak pernah melihat kepada maksudnya dan rupa-rupanya, mungkin ini kebetulan(atau tidak),di dalam surah Al-Mulk,terkandung ayat-ayat yang mengajar kita tentang muhasabah diri.
[2]
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
[3]
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
[4]
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

Di dalam ayat 2-4 dari Surah Al-Mulk,Allah menceritakan perihal amalan yang baik. Di antara kamu yang lebih baik amalnya? Bagaimana ingin pastikan amalan kita adalah amalan yang terbaik? Diceritakan pada ayat seterusnya,Allah membandingkan amalan yang baik itu dengan kejadian 7 petala langit yang berlapis-lapis,yang tiada cacat celanya. Allah mencabar supaya kita kemukakan mana-mana kecacatan yang ada pada langit,kalau tiada? Ulangi lagi,cari lagi cacat celanya. Dan pada ayat seterusnya, Allah menyuruh kita ulangi lagi,cari di mana cacat celanya 7 petala langit itu. Percayalah,kalau diulangi beribu-ribu kali pun,nescaya kita akan letih dan hampa sebab sesungguhnya,penciptaan 7 petala langit itu tiada cacat celanya.
Amalan yang baik itu ialah amalan yang dilihat berkali-kali sehingga kita letih dan kita masih tidak menjumpai cacat celanya. Kita rasa solat kita sudah kusyuk dan diterima Allah,ulangi lagi,ingat balik satu persatu,bagaimana kita berwudhu,ketika berwudhu kita fikir apa,ketika qiam kita betul-betul qiam. Lihat satu demi satu,kalau tiada,ulang balik sampailah kita betul-betul letih,maka itulah amalan yang terbaik.
Itulah muhasabah dalam Islam. Bukan sekali kita merenung amal (perbuatan kita,tak kisah baik atau buruk) tetapi berkali-kali sehingga kita letih,bukan sehingga kita berpuas hati. Ramai di antara kita,ketika bermuhasabah,mendapat dosa riak dan ujub. Ya,kita berada pada jalan yang salah,itu bukan cara muhasabah yang betul. Cara muhasabah yang betul,biarpun kita rasa sempurna,muhasabah lagi,istighfar lagi,moga amalan kita itu tergolong dalam amalan orang yang terbaik.
Ingat,sebelum kita memulakan azam baru,ayuh kita berhenti seketika dan bermuhasabah, lepas bermuhasabah,barulah kita tahu banyak mana perubahan yang kita perlukan.

PERASAAN


Perasaan

PERASAAN adalah rasa yang lahir dari batin. Oleh itu, semua orang semestinya  mempunyai perasaan. Mempelajari jenis-jenis perasaan akan melahirkan pengertian yang betul tentang perasaan itu sendiri.

Terdapat dua jenis perasaan yang utama , iaitu perasaan yang lahir di badan dan perasaan yang lahir dalam fikiran. Ini berlaku kerana setiap orang pasti mempunyai badan dan fikiran, maka perasaan terdapat pada kedua bahagian tersebut.

Jenis Emosi atau Perasaan.
1.  Gembira
Semua manusia inginkan kegembiraan. Kalau dapat mereka tidak mahu bertemu dengan kesedihan, ketakutan, kekhuatiran, kemarahaan dalam kamus hidup mereka. Akan tetapi sudah menjadi sunnatullah bahawa kejadian di alam ini adalah dalam berpasangan. Bila ada kesedihan, mesti ada kegembiraan.Apabila seseorang gembira, mereka melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai. Sebagai contoh, apabila seseorang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan, orang itu akan memberitahu berita tersebut kepada ibu bapanya, sahabat, jiran dan sebagainya. Perasaan seronok membuatkan seseorang berasa tenang, bersemangat, melupakan masalah yang sedang dihadapi dan sebagainya. Kadang kala, apabila seseorang itu terlampau seronok, mereka akan menangis kerana terlalu gembira. Apabila seseorang gembira, pipinya terangkat, mata berbentuk bulan sabit serta bibir berbentuk perahu.
2. Rasa bangga
Tercetus bila seseorang terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira. Selain itu, rasa bangga juga tercetus apabila seseorang itu dipuji kerana kelebihan yang dimilikinya oleh orang lain. Sebagai contoh, seseorang akan berasa bangga apabila diri mereka dipuji kerana mempunyai bakat dalam lakonan.Perasaan bangga juga boleh tercetus apabila seseorang itu berjaya melakukan sesuatu hasil usahanya sendiri.Perasaan bangga juga boleh membawa kepada kesan negatif. Sebagai contoh, apabila seseorang itu terlampau berbangga dengan dirinya, mereka mudah terlupa dan seterusnya mungkin meninggi diri atau sombong. Perasaan bangga seharusnya dikawal agar tidak mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri.
3. Simpati
Perasaan simpati merupakan perasaan yang baik dan perasaan ini terdapat di dalam diri setiap individu. Simpati bermaksud perasaan belas kasihan atau ambil berat terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Perasaan simpati selalunya tercetus terhadap perkara-perkara sedih atau kemalangan.Perasaan simpati terhasil apabila seseorang itu melihat atau merasai akan kesedihan yang dialami oleh individu lain. Sebagai contoh, anda akan berasa simpati apabila rakan karib anda ditimpa musibah dan anda akan kasihan kepadanya lalu cuba untuk mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kawan anda itu.Selain daripada perasaan simpati terhadap sesama manusia, perasaan simpati juga berlaku terhadap binatang dan tumbuhan. Perasaan simpati atau belas kasihan ini ditunjukkan melalui perbuatan seperti memberi haiwan makan, menghantar haiwan peliharaan ke klinik haiwan jika haiwan itu sakit dan sebagainya. Di dalam ajaran agama islam juga menyeuruh agar setiap manusia menjaga serta belas kasihan terhadap haiwan.
4. Malu
Setiap manusia mempunyai perasaan malu baik lelaki atau wanita. Perasaan ini menjadikan manusia menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.Selalunya, apabila seseorang bersa malu, mukanya akan kemerah-merahan, kepala tertunduk, diam dan kadang kala lari daripada perkara yang memalukan itu. Perasaan malu mempunyai kesan positif dan negatif.Kesan positifnya ialah perasaan malu dapat menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara melampaui batas, memalukan, menjatuhkan maruah dan sebagainya. Manakala kesan negatifnya pula ialah apabila perasaan malu dalam diri seseorang itu terlampau malu tidak bertempat, merka mungkin menghadapi kesukaran dalam berbagai perkara seperti berhadapan dengan orang ramai, tidak yakin membuat sesuatu perkara dan sebagainya.Justeru, perasaan malu perlu dikawal dengan baik agar ia tidak mendatangkan kesan negatif di dalam diri.
5. Reda
Perasaan reda atau pasrah wujud di dalam diri seseorang apabila sesuatu perkara atau peristiwa telah berlaku sama ada yang baik atau buruk. Perasaan ini selalunya timbul di dalam diri seseorang yang mempunyai pemikiran positif dan tidak mudah putus asa.Selalunya, apabila seseorang ditimpa musibah, mereka akan menyalahkan orang lain serta tidak dapat menerima musibah dan mengeluh. Tetapi, kepada orang yang mempunyai pemikiran positif, mereka dapat menerima musibah dengan hati terbuka dan menganggap ia sebagai satu ujian daripada Tuhan. Mereka akan reda dengan ketentuan Ilahi dan bangkit dari kesilapan untuk memperbaiki kelemahan.
6. Rindu
Emosi rindu merupakan suatu perasaan yang selalu kita dengari. Rindu merupakan satu perasaan yang menyeksakan bagi sesetengah orang. Perasaan ini berkait rapat dengan hubungan sesama manusia. Perasaan ini tercetus apabila orang yang disayang atau rapat tidak ada di depan mata. Apabila orang yang disayang itu berjauhan, maka perasaan rindu pada orang itu mula timbul. Ada orang kata, ubat hilangkan rindu ialah berjumpa dengan orang yang dirindu itu.
7. Sedih
Emosi sedih akan timbul bilamana seseorang dihadapkan pada keadaan yang
mengecewakan, menggelisahkan atau muncul sebagai akibat penderitaan kerana luka atau sakit.Emosi sedih boleh membuatkan seseorang itu berasa tertekan dan murung.
Justeru, apabila seseorang berasa sedih, dia hendaklah mengawal perasaan itu dengan sebaiknya. Membuat aktiviti seperti bersenam, berjumpa kawan-kawan dan sebagainya dapat melupakan seketika perasaan sedih itu. Jika boleh, kongsi perasaan sedih itu bersama teman rapat agar perasaan sedih dapat dikurangkan.
8. Marah
Marah adalah merupakan emosi yang hadir bersama emosi yang lain seperti kecewa, tersinggung, malu, tertekan, takut, rasa tidak dihargai, tidak diterima dan bimbang. Pertembungan emosi tersebut menyebabkan kita marah.Kemarahan yang kita pamerkan ini kadangkala sukar untuk kita kawal sehingga wujudnya perlakuan-perlakuan negatif yang kita sendiri tidak bermaksud untuk melakukannya. Sekarang ini banyak kita baca dan kita lihat pelbagai insiden yang melibatkan emosi marah.Apabila kita marah seluruh tubuh kita bertindakbalas terhadap rangsangan emosi tersebut. Dalam konteks fisiologi, tubuh kita menggeletar, jantung berdegup kencang dan suara menjadi kuat. Apabila ini yang berlaku, maka kita perlu bersikap rasional kerana ianya boleh mengundang perkara yang buruk. Apapun, kemarahan itu sebenarnya boleh dikawal dan diuruskan dengan baik. Di negara barat, institusi yang berkaitan dengan pengurusan marah banyak diwujudkan. Tidak seperti negara asia yang masih lagi terbelenggu dengan perasaan malu untuk berjumpa kaunselor atau psikatri untuk meluahkan pendaman mereka akibat rasa marah.
9. Takut
Takut ialah perasaan terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Berlakunya ketegangan mental akan memunculkan rasa takut. Ketakutan seseorang individu berbeza dengan ketakutan individu yang lain. Ada yang takut melihat ular, anjing, takut pada ketinggian, takut berbicara hadapan orang ramai dan sebagainya.
10. Cemas
Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu seseorang berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.
11. Rasa bersalah
Wujud bila seseorang melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Seseorang akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang seseorang meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.
12. Geli
Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.
13. Kecewa
Perasaan kecewa timbul apabila sesuatu yang kita inginkan tidak tercapai. Kecewa juga boleh hadir apabila orang yang kita percaya menipu diri kita. Kita akan menangis atau bermurung ketika bersedih. Selalunya, perasaan sedih akan beransur hilang dari hari ke hari. Selepas kecewa, kita mungkin akan bangkit dari kekecewaan dan bangkit menebus kekecewaan itu.
14. Terkejut
Seseorang apabila dia menduga sesuatu akan berlaku tetapi yang terjadi itu adalah tidak terduga maka akan membuat dia merasa terkejut dan akibatnya jiwa akan tertekan. Semasa terkejut, degupan jantung akan bertambah dan kadang kala badan akan menggigil.
15. Stress
Satu keadaan gangguan emosi, pemikiran dan fizikal seseorang. Apabila seseorang mengalami stress, mereka akan menunjukkan tanda-tanda dan perubahan fizikal seperti sakit, terlalu kurus atau gemuk, hilang keceriaan diri, lesu, letih dan sebagainya. Mereka juga mengalami perubahan sikap seperti mudah marah, bosan, tidak mampu menguruskan diri, sentiasa berpandangan negatif, hilang pertimbangan dan sebagainya.
16. Cemburu
Cemburu merupakan suatu perasaan yang ada di dalam diri setiap manusia. Perasaan cemburu timbul apabila seseorang berasa tidak setanding dengan orang lain. Sebagai contoh, seseorang akan berasa cemburu apabila orang lain lebih hebat atau dipandang tinggi berbanding dirinya.Cemburu juga berlaku apabila orang yang kita sayangi atau cintai rapat dengan orang lain. Sebagai contoh, si isteri akan berasa cemburu apabila suaminya rapat dengan perempuan lain.

Khamis, 29 Disember 2011

Tahun Baharu Masihi dan Hijrah


Mungkin ada yang dah tahu dan mungkin ramai juga yang tak tahu mengenai dua istilah ini iaitu tahun Masihi dan tahun Hijriah. Masihi ialah kalendar Kristian sementara Hijriah atau Hijrah ialah Kalendar Islam. Tahun Masihi didasarkan kepada tahun kelahiran Jesus ( Nabi Isa ) Dalam tahun Masihi ini ada dua peringkat iaitu tahun sebelum Masihi dan tahun Masihi. Dalam Bahasa Inggeris, Sebelum Masihi dipanggil BCE.Masihi pula dipanggil CE (Common Era) dan AD. Istilah AD merupakan istilah Latin iaitu ANNO DOMINI yang dipanggil tahun tuhan kita. Maksud tahun tuhan kita ini merujuk kepada kelahiran Jesus. Jadi, Masihi, CE dan AD adalah sama.
Takwim Hijrah ialah calendar yang berdasarkan bulan qamari dan disebut juga takwim atau kalendar Islam. Ia  mengandungi 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal,Rabiulakhir, Jamadilawal,Jamadilakhir, Rejab, Syaaban,
Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.
Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Ka'b ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah S .A.W. Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun nama itu tidak lagi tepat    sebagaimana    yang   kita    alami   sekarang . Contohnya  Ramadhan   yang   berasal    daripada   a l - Ra m a d a ' bermaksud sangat panas, tidak  selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Ja m a d bermaksud beku. Muharam pula dinamakan demikian kerana ia  merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang  dan Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam. Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama tersebut diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati,kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan,oleh itu ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang setelah duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan , berasal  daripada   akar    kata sy ala (meng angkat). Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

1 Muharam atau Awal Muharam, iaitu hari pertama dalam takwim Hijrah atau kalendar Islam. Bagi beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, ia merupakan hari cuti umum bagi menyambut dan meraikan kedatangan hari tersebut. Umat Islam pula digalakkan membaca doa akhir tahun dan awal tahun serta berpuasa sunat bagi menginsafi dan merenung hikmah di atas peristiwa-peristiwa yang telah berlaku.

Selain dari kalendar Masihi dan Hijriah terdapat juga Kalendar Cina. Kalendar Cina merupakan takwim lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar. Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu, dan Perayaan Kuih Bulan, serta dalam bidang astrologi, seperti memilih tarikh sesuai untuk melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru. Oleh sebab swtiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan.

Ahad, 25 Disember 2011

Kalendar Kuda

 
   
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.      

Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw,kaum keluarganya,para sahabat ,dan seluruh umat Islam sama ada yang hidup atau telah meninggal dunia.

Pada pagi ini teringat akan satu perkara yang selalu orang ingati apabila di penghujung tahun dan juga dia wal tahun. Azam tahun baharu,bukan azam yang saya maksudkan,tetapi kalendar. Ramai orang sibuk dikala hujung tahun untuk mencari kalendar tahun baru. Ada yang membeli dari kedai buku dan menempah di kedai cetak sebagai koleksi peribadi. Kalendar terdiri dari pelbagai bentuk. Ada yang dicetak seperti kad perniagaan,ada dicetak seperti poster dan yang paling digemari sekali ialah kalendar Kuda.Biasanya Kalendar Kuda akan diberi secara percuma oleh kedai-kedai runcit dan kedai-kedai biasa. Syarikat yang mengeluarkan kalendar ini akan mempamerkan lambang perniagaan mereka di sebelah atas Kalendar.

 


Perbuatan ini merupakan satu promosi ke atas perniagaan mereka. Orang akan simpan promosi ini sampai habis tahun. Berkesan sungguh promosi ini. Semalam semasa saya menghadiri kenduri kahwin ,saya telah dihadiahkan dengan kuih-muih dan sebuah kalendar. Bagus sungguh idea ini. Baru-baru ini saya dihadiahkan juga kalendar benbentuk kad perniagaan oleh pasangan mempelai yang mana siap dicetak gambar pasangan tersebut. Satu idea yang baik supaya orang ingat pasangan tersebut dan mendoakan kebahagian mereka. Apapun kalendarnya kalendar kuda yang paling popular. Kenapa kalendar kuda popular. Ini menjadikan satu kajian . Kalau difikirkan dengan akal yang waras kita cuma boleh dapat 2 atau 3 alasan. Namun kalau kita tanya peminat kalendar ini pelbagai alasan dapat kita jumpa.Dari segi fikiran saya,kalendar kuda ini sebenarnya mudah dilihat. Sekali tengok boleh nampak semua tarikh dalam bulan tersebut. Kedua ia merangkumi semua bulan dalam tahun itu.Maknanya kita boleh merujuk bulan mana yang kita mahu sama ada sebelum ,semasa,atau selepas,asalkan kita tidak koyak bulan-bulan yang lepas. Selain itu,Kalendar Kuda menunjukkan tarikh untuk tahun-tahun lain seperti tahun Hijriah(Islam),tahun Cina dan India.Inilah kehebatan kalendar kuda. 

         Melalui tinjauan yang saya buat, ramai memberi alasan bahawa kalendar ini menunjukkan waktu Cuti Umum , Cuti Perayaan di Malaysia dan yang paling penting Cuti Sekolah. Kata orang lama-lama kalau nak tahu hari raya puasa atau raya korbanpun kena tengok kalendar kuda kerana ketepatannya menyamai tarikh hari raya yang ditentukan dengan melihat anak bulan. Kepada kaki judi pula , tarikh perlumbaan kuda merupakan satu tarikan kepada kalendar kuda ini.Selain itu kalendar kuda juga mempunyai keunikannya iaitu dapat menunjukkan tahun dari segi kepercayaan masyarakat cina. sebagai contoh tahun 2012 merupakan tahun Naga. Tahun Naga merupakan tahun yang baik dalam kepercayaan masyarakat cina kerana tahun ini boleh memberikan keuntungan dan kekayaan yang besar.Kita juga boleh mengetahui tahun kelahiran kita,tahun apa. Sebagai contoh anda lahir pada tahun 1980,tahun kelahiran anda ialah tahun monyet.Jadi anda mungkin mempunyai perlakuan atau perangai seperti monyet.Maksud saya kalau baik perangai baik seekor monyet,kalau jahat perangai jahat seekor monyet. Bukan saya mengatakan anda monyet.
Penyataan minggu sepanjang tahun telah siap dinyatakan di bahagian bawah setiap hari sabtu.Anda juga boleh mengetahui Hari Lahir setiap Raja melayu yang ada di Malaysia.Selain itu,disetiap hujung bulan akan disediakan ruang -ruang untuk menulis memo atau perkara penting. Ramai pengguna akan terus menanda di atas tarikh kalendar tersebut.
         Secara keseluruhannya bolehlah dikatakan bahawa Kalendar Kuda mempunyai pelbagai guna dan amat sesuai untuk rakyat Malaysia.Sekiranya habis tempoh kertas kalendar ini akan digunakan untuk membungkus barang ,biasanya di kedai-kedai hardware,pekedai akan membungkus skru atau paku kecil. Itulah kehebatan KALENDAR KUDA.