Rabu, 4 Januari 2012

HARI PERTAMA BERTUGAS DI TAHUN BAHARU 2012

Alhamdulillah seperti biasa aku memulakan tugasku sebagai seorang guru pada hari ini 3 Januari 2012. Sebagai seorang guru berpengalaman bukanlah sesuatu yang baharu bagiku. Cuma bezanya hari ini merupakan tahun baharu 2012 dan aku telah menjadi guru selama 20 tahun rupanya. Lama juga kalau direnungkan masa itu,namun bagi diriku ia seolah-olah seperti baru semalam ia berlalu. Mengajar di SK Tandop Besar nipun dah masuk 13 tahun dah. Namun dek kerana rakan taulan sering bertukar dan guru besarpun acapkali bertukar juga aku merasakan macam baru sahaja masuk ke sekolah ini.
      Antara faktor lain ialah mungkin semasa mula bertugas di sini bangunan masih lama dan kini hampir 10 tahun berada di bangunan baharu. Keadaan sekeliling seperti keindahan lanskap sekolah juga menjadikan diri ini terasa baharu sahaja bertugas di sini. Apapun aku suka dengan sekolah ini. Aku suka dengan rakan-rakan sejawat di sini . Lebih menawan hatiku di sini ialah anak-anak didik yang pelbagai kerenah dan para waris yang menyanjung tinggi pengorbanan guru. Mungkin daerah ini agak pedalaman sedikit jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain,namun apapun keselesaan berada dan bertugas di sini memang terasa amat.
     Pada tahun ini aku diberi tugas mengajar BM tahun 4,KH tahun 5 dan 4 dan PJPK Tahun 3.Mata pelajaran yang memang aku minat untuk mengajar.Pagi ini juga kami telah didatangi oleh seorang pelawat dari PPD Padang Terap yang ditugsakan memantau perjalanan sekolah hari pertama. Kami berasa bertuah sebab didatangi oleh seorang sahaja pegawai PPD ,tidak seperti sekolah lain yang didatangi oleh Jemaah Nazir dan juga pegawai dari JPN. Apapun tugas kita ,kita buat.Tugas mereka hendak memantau.Biarkan mereka membuat tugas mereka.
     Aku terasa terkilan sedikit hari ini kerana tidak dapat melakukan P&P PJ pada waktu pertama kerana waktu ini digunakan untuk mengadakan perhimpunan hari pertama persekolahan. Walau bagaimanapun semua kelas berjaya aku masuk pada hari ini dan dapat menjalankan pengajaran seperti yang telah dirancangkan. Alhamdulillah semua muridku dapat mengikuti kelasku dengan baik dan menyiapkan tugasan yang diberi dengan memuaskan. Pada tahun ini permulaan kelas ( set induksi ) aku ubah dengan mengadakan sedikit tazkirah kepada murid tentang ketuhanan. Walaupun 5 minit cuma,rasanya aku cukup berpuas hati kerana mereka mungkin akan dapat yang 5 minit ini sebagai bekalan dan panduan menjadi muslim sejati. Bagi aku apa guna jika pandai dalam pelajaran teta[pi jiwa kosong tanpa iman.
      Rasanya amalan ini perlu diteruskan agar semua muridku terdidik dengan bekalan akhirat selain bekalan dunia. Sekurang-kurangnya dapat membantu ustaz dan ustazah kearah memantopkan lagi jiwa insan itu.Semoga sedikit kisahku di hari pertama persekolahan ini menjadi penguat azamku untuk terus menjadi seorang guru.

Isnin, 2 Januari 2012

Azam Tahun Baharu - Puasa Isnin dan Khamis

  Puasa Pada Hari Isnin dan Khamis
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
                        
Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menjadi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)

 Dengan berpuasa , kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."
                        Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
         Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka marilah kita sama-sama berpuasa sunat sepanjang tahun.

Ahad, 1 Januari 2012

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI 2012

 
Salam buat semua rakan yang mengenali diri ini semoga dirimu semua sentiasa berada di dalam peliharaan Allah swt selalu hendaknya. Hari ini 01.01.2012 merupakan hari baharu pada tahun baharu 2012. Ini bermakna kita bertambah usia setahun lagi dari segi perkiraan dunia. Perkiraan kematian bermakna kita semakin dekat dengan ajal yang telah dijanjikan oleh Allah yang telah tersurat untuk kita.Kepada rakan-rakan yang bangun awal pada pagi ini saya ucapkan tahniah kerana anda berjaya menjadi seorang manusia yang kuat dan lebih-lebih lagi bangun dan menunaikan perintah Allah yakni sembahyang subuh. Yang cemerlang lagi dapat solat subuh berjemaah di masjid atau di surau atau di rumah bersama ahli keluarga. Sepatutnya inilah yang berlaku kepada kita semua sebagai hamba Allah yang bersyukur.


      Namun dalam banyak hal, pada pagi ini ramai yang bangun lewat dan tertinggal solat subuh. Jika ditinjau dan dibuat kajian beginilah situasi pada pagi tahun baharu Masehi. Kenapa jadi begini?Jawabnya sebab semalam ramai yang berjaga malam untuk menyambut detik 12 malam penanda masuk tahun baharu. Akibatnya ramai yang tidak dapat bangun awal pada pagi ini.
      Sekarang kita dapat lihat agak berlakulah sedikit perubahan dalam program ambang tahun baharu dimana ada pihak-pihak yang mengadakan program sambutan bercorak keagamaan seperti solat maghrib berjemaah,kuliah maghrib,solat isyak berjemaah,ceramah perdana tentang tajuk-tajuk sebagai individu muslim dan bermacam-macam program yang baik-baik. Namun budaya sambutan fesyen lama masih popular dan menjadi kegilaan anak muda masa kini. Budaya berhibur dengan konsert-konsert yang melalaikan dan bergaul bebas antara lelaki dan wanita dilihat sebagai satu budaya dalam masyarakat. Yang paling menghairankan pihak pemimpin turut sama hadir di dalam majlis sebegini dan tidak nampak rasa ingin mengubah fenomena ini ke arah yang lebih baik. Ini menunjukkan pihak kerajaan juga turut sama menjadikan rakyatnya rosak disebabkan pengajuran program yang begini.Tidak perlu dijelaskan lagi kerana semua pihak maklum dengan perkara ini.Maksiat dan persetubuhan haram berlaku cukup banyak pada malam tadi. Akibatnya kita akan mendengar berita anak dibuang pada bulan september dan oktober nanti.Bulan-bulan ini merupakan bulan pembuangan bayi. Pada masa itu,kita akan mempersalahkan individu tersebut dan orang itu serta orang ini. Sebenarnya kita terlibat sama kearah menyumbangkan perkara ini.
        Marilah kita merenung sejenak dengan apa yang berlaku semasa sambutan tahun baharu Hijriah. Sepatutnya sambutan tahun baharu inilah yang kita sambut sebab tahun baharu kita. Ini sebaliknya yang berlaku.Jika ini berlaku maknanya kita masih terikat dengan budaya penjajah. Kita mengaku kata merdeka,namun merdekakah kita jika masih lagi menyambut tahun baharu penjajah.Cukup sekadar mengingati dan mengucap syukur apabila tiba tahun baharu masehi kerana tahun ini digunakan secara antarabangsa di seluruh dunia.Semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dengan perkara-perkara yang berlaku di dalam negara kita.
        Akhir kalam saya dan seisi keluarga sekali lagi ingin mengucapkan salam tahun baharu 2012 untuk semua pembaca dan sahabat handai yang mengenali diri saya. Begitu juga bekasan anak didik saya yang menbaca coretan ini tak kira dimana anda berada. Semoga tahun baharu 2012 ini akan menjadikan anda semua sebuah kejayaan dan pencapaian yang lebih baik. Kata bijakpandai semalam adalah sejarah,hari ini adalah kenyataan dan esok belum pasti. Oleh itu kejarlah peluang yang ada pada hari ini sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan pada esok hari semoga sejarah semalam yang ditinggalkan adalah sejarah yang gemilang buat pedoman orang kemudian.
        Sekian.