Follow by Email

Ahad, 4 November 2012

Sedetik Catatan Buat Guru

Dengan Nama Allah Yang Maha pengasih Lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhamad SAW,isteri-isteri baginda, para sahabat,para tabiin , para-para ulamak dan seluruh umat Islam yang beramal soleh dan berpegang dengan tali Allah swt.
       Bersyukur kehadrat Allah swt kerana pada malam ini masih memberi kekuatan kepadaku untuk menulis lagi setelah sekian lama tidak menulis di dalam blog ini. Dek kesibukan kehidupan seharian yang dipenuhi dengan pelbagai tugasan dan tanggungjawab telah menyebabkan diriku terlupa seketika blog akuguru ini. Sedar atau tidak minggu ini merupakan minggu terakhir seorang murid akan belajar di sekolah dan seorang guru akan pergi mengajar di sekolah secara berjadualnya. Ya Allah begitu cepat masa berlalu. Minggu ini juga bermacam-macam perkara yang perlu dilakukan. Bermula dengan hari ini, perhimpunan terakhir, esok hari graduasi Pra sekolah , lusa Jamuan Akhir tahun 6, tulat Lawatan ke Pusat Sains negara Cawangan Utara dan Khamis jamuan akhir Kelab guru dan kakitangan. Semuanya perlukan penglibatan semua pihak. Begitulah sedikit gambaran tugas guru di sekolah. Sebenarnya banyak lagi tugas yang perlu dilakukan pada saat akhir ini. Namun saya tidak mahu memperincikan tugas-tugas ini dengan cukuplah saya perkatakan memang banyak perkara yang perlu guru lakukan. Setiap guru ada perkara yang perlu dilakukan.
        Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Namun sebagai seorang guru semua tugas-tugas ini perlu dilakukan. Ini memang tugas yang perlu dibereskan. Kepada guru baharu, mereka mungkin agak terkejut dengan tugas yang begitu banyak. Semasa belajar di maktab atau IPG semua tugas sampingan ini tidak pernah didedahkan kepada mereka. Sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga sebagai guru atau rakan guru yang lama mungkin mereka tidak tahu hakikat akan kesibukan ini. Nampak seperti senang, hidup sebagai seorang guru, cuti banyak, balik awal, petang boleh buat kerja tambahan, sebenarnya tugas ini amat sukar. Sekiranya tidak diberi cuti nescaya ramai guru akan terpaksa dimasukkan ke wad sakit jiwa atau hospital bahagia dek tugas yang banyak dan kerenah pelajar ditambah dengan kerenah ibubapa dan waris. Itu belum ditambah lagi dengan kehendak pemimpin masyarakat dan campurtangan politik. Pening kepala dibuatnya.
        Apapun sebagai seorang guru kita perlu terima semua ini kerana kita masih lagi berpegang kepada tugas guru adalah tugas yang mulia disisi agama. Kesempatan ini saya menyeru kepada semua guru supaya selesaikanlah semua tugasan anda dan ambiklah masa cuti anda untuk bercuti demi menyegarkan semula semangat, akal fikiran dan buangkanlah stress kerja selama setahun ini untuk meningkatkan mutu pengajaran anda pada tahun hadapan. Semua kekuatan yang ada pada diri anda kekalkanlah dan murnikan lagi demi mendapat kepuasan kerja dan kejayaan anak didik anda. Segala kelemahan diri bermunasabahlah dan buangkan ke tepi atau jadikan ia bernilai untuk mencapai kejayaan pada tahun hadapan. Bermohonlah keampunan kepada semua anak didik anda dan juga kepada Allah swt di atas kelemahan diri anda yang tidak mengajar, tidak menyemak latihan murid, tidak masuk awal di dalam kelas, keluar awal dan bermacam-macam lagi kekuarangan yang anda lakukan semasa bertugas pada tahun ini. Sama-samalah bermaaf-maafan antara semua guru kerana amalan bermaafan ini akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Buang yang tidak elok dan amalkan yang baik-baik belaka.
        Semoga pada tahun hadapan kita akan terus menjadi guru dengan azam yang baharu dan semangat yang kental demi meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Sekali jadi guru terus menjadi guru. Dimana-mana orang akan panggil cikgu walaupun kita telah meninggal dunia. Itulah guru.

                                                                                            Nukilan : Buat semua guru di Malaysia.