Jumaat, 30 Disember 2011

Apakah Azam Tahun Baharu Anda?


Menjelang sahaja tahun baru pasti ada azam yang akan dibuat. Mungkin azam yang lama dan ada yang baru. Tidak kurang juga ada individu yang tidak berbuat azam (mungkin hidup sudah cukup berjaya..). Bukan mudah hendak berazam, lebih mudah bercakap berbanding melaksanakannya tetapi sebagai individu seeloknya kita memiliki azam. Azam memberikan kita panduan untuk meneruskan hidup dalam setahun.
Bila kita sebut tentang tahun baru,tidak kisah tahun baru Hijrah atau tahun baru Masihi, pastinya perkataan yang paling sinonim ialah Azam Tahun Baru. Hal ini kerana manusia sering mencari satu titik baru dalam hidup untuk melakukan penghijrahan. Contoh,Amin seorang pelajar yang malas,dia sedar dirinya malas dan dia ingin lakukan perubahan. Jadi dia berazam di tahun depan dia akan mula rajin. Saya yakin,ramai di antara kita sama dengan Amin.
Dan hampir semua orang menjadikan tahun baru sebagai titik permulaan balik(restart point) sebagai seorang yang berguna, seorang yang rajin,muslim yang bertaqwa dan sebagainya. Jadi,apa azam anda tahun ini? Menjadi seorang muslim yang bertaqwa? Menutup aurat dengan sempurna? Berkahwin? Dapat 10 A dalam SPM? Simpan azam anda di dalam hati dan akal anda, pastikan ia menjadi sumber inspirasi anda untuk berjaya di dunia dan di akhirat,sebabnya kita akan berbincang soal sebelum kita berazam iaitu muhasabah azam lama.
Kita sering berazam untuk berubah tetapi jarang benar kita bermuhasabah sebelum kita mulakan azam baru. Ya kita boleh tinggal jahiliah di dalam diri kita begitu sahaja,buang dari hati kita dan terus dengan azam baru tetapi tindakan yang terbaik,sebelum kita buang jahiliah yang ada di dalam hati kita, kita teliti dahulu satu persatu kenapa kita perlu berubah, dari sudut mana kita patut berubah, apakah perangai-perangai yang patut kita elak dan sebagainya supaya titik-titik hitam yang ada dalam diri kita menjadi peringatan kepada kita supaya tidak mengulanginya lagi.
Rasakan diri sudah sempurna?
Puas berfikir apakah dosa harian kita?
Fikir dari bangun tidur sampailah kita pejamkan mata kembali,masih tiada dosa?
Fikir lagi,muhasabah lagi,bagaimana ibadah kita.
Masih sempurna? Solat pun kusyuk?
Fikir lagi,muhasabah lagi,ikhlaskah kita.
Juga sempurna?
Fikir lagi,muhasabah lagi sampai kita letih,sebab itulah cara muhasabah yang terbaik yang disebut di dalam Al-Quran.
Semua orang tahu bahawa Surah Al-Mulk dibaca sebelum tidur. Saya tidak ingin sentuh tentang fadhilatnya tetapi yang pasti, ianya menjadi amalan oleh Rasulullah. Kalau di sekolah saya dulu, selepas solat Isyak berjemaah, kami diwajibkan membaca surah Al-Mulk secara berjemaah tapi jujurnya, kami hanya mengejar fadhilatnya jadi kami tidak pernah melihat kepada maksudnya dan rupa-rupanya, mungkin ini kebetulan(atau tidak),di dalam surah Al-Mulk,terkandung ayat-ayat yang mengajar kita tentang muhasabah diri.
[2]
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
[3]
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
[4]
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

Di dalam ayat 2-4 dari Surah Al-Mulk,Allah menceritakan perihal amalan yang baik. Di antara kamu yang lebih baik amalnya? Bagaimana ingin pastikan amalan kita adalah amalan yang terbaik? Diceritakan pada ayat seterusnya,Allah membandingkan amalan yang baik itu dengan kejadian 7 petala langit yang berlapis-lapis,yang tiada cacat celanya. Allah mencabar supaya kita kemukakan mana-mana kecacatan yang ada pada langit,kalau tiada? Ulangi lagi,cari lagi cacat celanya. Dan pada ayat seterusnya, Allah menyuruh kita ulangi lagi,cari di mana cacat celanya 7 petala langit itu. Percayalah,kalau diulangi beribu-ribu kali pun,nescaya kita akan letih dan hampa sebab sesungguhnya,penciptaan 7 petala langit itu tiada cacat celanya.
Amalan yang baik itu ialah amalan yang dilihat berkali-kali sehingga kita letih dan kita masih tidak menjumpai cacat celanya. Kita rasa solat kita sudah kusyuk dan diterima Allah,ulangi lagi,ingat balik satu persatu,bagaimana kita berwudhu,ketika berwudhu kita fikir apa,ketika qiam kita betul-betul qiam. Lihat satu demi satu,kalau tiada,ulang balik sampailah kita betul-betul letih,maka itulah amalan yang terbaik.
Itulah muhasabah dalam Islam. Bukan sekali kita merenung amal (perbuatan kita,tak kisah baik atau buruk) tetapi berkali-kali sehingga kita letih,bukan sehingga kita berpuas hati. Ramai di antara kita,ketika bermuhasabah,mendapat dosa riak dan ujub. Ya,kita berada pada jalan yang salah,itu bukan cara muhasabah yang betul. Cara muhasabah yang betul,biarpun kita rasa sempurna,muhasabah lagi,istighfar lagi,moga amalan kita itu tergolong dalam amalan orang yang terbaik.
Ingat,sebelum kita memulakan azam baru,ayuh kita berhenti seketika dan bermuhasabah, lepas bermuhasabah,barulah kita tahu banyak mana perubahan yang kita perlukan.