Rabu, 4 Januari 2012

HARI PERTAMA BERTUGAS DI TAHUN BAHARU 2012

Alhamdulillah seperti biasa aku memulakan tugasku sebagai seorang guru pada hari ini 3 Januari 2012. Sebagai seorang guru berpengalaman bukanlah sesuatu yang baharu bagiku. Cuma bezanya hari ini merupakan tahun baharu 2012 dan aku telah menjadi guru selama 20 tahun rupanya. Lama juga kalau direnungkan masa itu,namun bagi diriku ia seolah-olah seperti baru semalam ia berlalu. Mengajar di SK Tandop Besar nipun dah masuk 13 tahun dah. Namun dek kerana rakan taulan sering bertukar dan guru besarpun acapkali bertukar juga aku merasakan macam baru sahaja masuk ke sekolah ini.
      Antara faktor lain ialah mungkin semasa mula bertugas di sini bangunan masih lama dan kini hampir 10 tahun berada di bangunan baharu. Keadaan sekeliling seperti keindahan lanskap sekolah juga menjadikan diri ini terasa baharu sahaja bertugas di sini. Apapun aku suka dengan sekolah ini. Aku suka dengan rakan-rakan sejawat di sini . Lebih menawan hatiku di sini ialah anak-anak didik yang pelbagai kerenah dan para waris yang menyanjung tinggi pengorbanan guru. Mungkin daerah ini agak pedalaman sedikit jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain,namun apapun keselesaan berada dan bertugas di sini memang terasa amat.
     Pada tahun ini aku diberi tugas mengajar BM tahun 4,KH tahun 5 dan 4 dan PJPK Tahun 3.Mata pelajaran yang memang aku minat untuk mengajar.Pagi ini juga kami telah didatangi oleh seorang pelawat dari PPD Padang Terap yang ditugsakan memantau perjalanan sekolah hari pertama. Kami berasa bertuah sebab didatangi oleh seorang sahaja pegawai PPD ,tidak seperti sekolah lain yang didatangi oleh Jemaah Nazir dan juga pegawai dari JPN. Apapun tugas kita ,kita buat.Tugas mereka hendak memantau.Biarkan mereka membuat tugas mereka.
     Aku terasa terkilan sedikit hari ini kerana tidak dapat melakukan P&P PJ pada waktu pertama kerana waktu ini digunakan untuk mengadakan perhimpunan hari pertama persekolahan. Walau bagaimanapun semua kelas berjaya aku masuk pada hari ini dan dapat menjalankan pengajaran seperti yang telah dirancangkan. Alhamdulillah semua muridku dapat mengikuti kelasku dengan baik dan menyiapkan tugasan yang diberi dengan memuaskan. Pada tahun ini permulaan kelas ( set induksi ) aku ubah dengan mengadakan sedikit tazkirah kepada murid tentang ketuhanan. Walaupun 5 minit cuma,rasanya aku cukup berpuas hati kerana mereka mungkin akan dapat yang 5 minit ini sebagai bekalan dan panduan menjadi muslim sejati. Bagi aku apa guna jika pandai dalam pelajaran teta[pi jiwa kosong tanpa iman.
      Rasanya amalan ini perlu diteruskan agar semua muridku terdidik dengan bekalan akhirat selain bekalan dunia. Sekurang-kurangnya dapat membantu ustaz dan ustazah kearah memantopkan lagi jiwa insan itu.Semoga sedikit kisahku di hari pertama persekolahan ini menjadi penguat azamku untuk terus menjadi seorang guru.