Follow by Email

Rabu, 8 Februari 2012

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.
        Alhamdulillah,hari ini Allah telah mengizinkan tangan dan jari jemari ini menulis kembali setelah sebulan tidak berkesempatan menuliskan sesuatu di sini. Maklum sajalah sebagai seorang guru pada awal-awal tahun memang banyak perkara yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah semua perkara yang penting-penting telah dibereskan,yang tinggal cuma saki-baki yang tidak berapa penting.
         Pada tahun ini berlaku banyak perubahan di dalam pekerjaan kami, semua perkara yang tidak berkaitan dengan P&P hendaklah dilakukan diluar waktu tersebut. Ini termasuklah segala macam mesyuarat dan program. Mesyuarat Panitia yang sebelum ini dilakukan pada penghujung waktu persekolahan telah diubah ke waktu petang dan ada sekolah buat pada waktu malam.
           Sambutan Maulidur Rasulpun dijalankan pada waktu cuti sekolah. Itulah perubahan yang dibawa oleh pengarah pelajaran kami yang baharu iaitu En Mansor bin Lat. Tahniah diucapkan kerana dapat menyampaikan arahan dan dapat dipatuhi oleh semua sekolah di kedah. Apapun sebagai seorang yang menurut perintah,semua orang akur walaupun ada yang merungut. Rungutan memang akan berlaku pada awal pelaksanaannya. Semuanya itu akan berakhir apabila telah menjadi budaya kerja apabila sentiasa dijalankan setiap masa.
          Sedar tak sedar masa sudah berlalu sebulan. Rungutan dan pelbagai peristiwa penghujung tahun dan awal tahun telah menjadi sejarah. Pemberian bantuan persekolahan RM100 telahpun dilupai oleh semua rakyat Malaysia. SBPA menjadi tanda tanya. Angan-angan kakitangan yang akan membeli kereta baru terpadam begitu sahaja dek kerana penangguhan SBPA. Bantuan Rakyat 1 Malaysia pun semakin tidak disebut orang. Sebagai seorang guru,semuanya itu bagaikan satu mimpi dan kini hilang begitu sahaja. Yang tinggal ialah usaha yang berterusan untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada anak didik supaya menjadi orang yang berguna dan berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
         Baru-baru ini , ramai-ramai rakan-rakan guru telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah sarjana muda pendidikan Program Pensiswazahan Guru (PPG). Ada yang gembira dan ada yang sedih walaupun menerima tawaran tersbut.Yang gembira kerana dapat belajar di institusi yang dekat dengan rumah dan program yang diminta telah ditawarkan. Yang sedih sebab dapat opsyen lain dan jauh dengan rumah. Apapun jika ingin berjaya mesti ada pengorbanan. Pendek kata kena susah dahulu baru boleh senang. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua rakan guru yang terpilih oleh Allah untuk meneruskan pengajian mereka dan memartabatkan lagi profesyen keguruan.