Khamis, 22 Disember 2011

Catatan selepas ........perjumpaan sesi Nov-Disember 2011 RBT n0v08

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana pada pagi yang dingin ini Dia masih lagi memberi nafas kepadaku untuk aku bangun ,bersiap diri dan pergi ke surau mengalun azan subuh. Meskipun suaraku agak tidak keluar akibat batuk yang aku alami selama 2 minggu lebih. Alhamdulillah juga sebab azanku didengar oleh semua penduduk yang berhampiran dengan surau di depan rumahku. Aku boleh berjemaah bersama saudara jiran tetanggaku. Rsanya lama juga aku tidak sembahyang subuh berjemaah. Terasa terubat rindu di hati. Apabila balik dari surau,aku mengejutkan anak-anak untuk solat subuh.Alhamdulillah Adam dan Alif anak sulung dan kedua aku tidak membantah,sekali kejut mereka telah bangun dan mengambil wuduk serta solat subuh.Aku meneruskan niatku untuk membaca al-Quran. Inipun rutin yang lama aku tinggalkan.Sejak masuk ke kampus IPG Perlis rutin di rumah telah berubah. Apapun syukur kehadrat Allah kerana masih mengingati segala kebaikan yang selalu aku lakukan.
Perjalanan menghabiskan sesi pengajianku di IPG Perlis dalam semester 6 telahpun tamat semalam. Pengakhirannya adalah dengan menjawab peperiksaan. Semester 7 telahpun kami lalui selama seminggu.Itulah kehebatan pengajian kami guru-guru PGSR mod KDC.Program PGSR bermaksud Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah sementara mod KDC ialah Kursus Dalam Cuti. Ini bermakna kami akan berlajar pada waktu cuti. Setiap kali cuti semester kami akan masuk belajar. Memang teruk...kata orang teruk mata memandang ,namun teruk lagi bahu yang memikul. Apapun selama 3 tahun dah kami menjalani kehidupan seperti ini.Sedar tak sedar tinggal setahun sahaja lagi.InsyaAllah pada tahun 2012 nanti tamatlah pengajian kami.Selama 3 tahun ini pelbagai dugaan dan cabaran telah kami hadapi.Ada peristiwa pahit,peristiwa sedih dan peristiwa gembira. Semua telah terpahat dalam diri masing-masing. Semua perangai rakan-rakan sekuliah dan rakan sebilik muncul tanpa diminta.
Allah Huakbar.....Kenangan inilah yang selalu mengingatkan kita kepada rakan-rakan. Setiap kali menjelang cuti,pasti muka rakan-rakan akan terbayang.Timbullah pelbagai tugasan yang belum siap,nota yang berselerak,dan peralatan untuk masuk belajar yang entah di mana. Masing-masing akan menghubungi antara satu sama lain. Itulah kami guru-guru lama yang sambung belajar. Sedar-sedar apabila sampai semuanya tak ada. Semua kena beli lain dan sebagainya.
Hari ini kami semua telah melangkah balik ke destinasi masing-masing. Ada di Kedah,Pulau Pinang dan paling jauh di Perak.Tahun ni alhamdulillah kami berpeluang balik agak awal berbanding dengan tahun-tahun dulu. Biasanya 24 Disember baru habis kuliah. Tahun ni 15 Disember 2011 dan habis kuliah. Study Day 3 hari. Exam 19,20 dan 21 Disember 2011. Tahun ni juga agak teruk sikit sebab exam 5 subjek 3 hari. Tahun sebelum ni satu hari satu subjek. Tahun ini satu hari 2 subjek. Macam nak pecah kepala otak. Apapun kami dapat teruskan juga. Alhamdulillah semuanya yang ditanya dapat kami jawab. Jawapan itu betul ke tidak kami kurang pasti. Apapun kena tunggulah keputusannya pada bulan Februari nanti. Semoga Allah memberi kejayaan kepada kami semua.
Kepada sahabat-sahabat yang dah kembali ke rumah, pesan saya kita masih ada masa lagi.Ambillah peluang ini untuk membawa anak-anak pergi berjalan. Kesian mereka kerana cuti sekolah yang panjang ,mereka hanya duduk di rumah sahaja. Di samping berjalan kita juga dapat meleraikan stress semasa belajar. InsyaAllah semua akan normal kembali.Kepada rakan yang belum menandatangani SBPA juga diharapkan dapat mempercepatkan tindakan mereka. Sekarang ni jualan Promosi Mari Ke Sekolah telah tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Jadi ambillah peluang ini untuk membeli keperluan anak-anak untuk ke sekolah.
Semoga apa sahaja yang anda lakukan hari ini akan dilindungi oleh Allah swt selalu hendaknya.