Khamis, 15 Disember 2011

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Sedar tak sedar,diam tak diam rupa-rupanya hari ini merupakan hari terakhir kuliah saya di IPG Kampus Perlis.Rupa-rupanya saya telah berada di sini sudah 4 minggu. 4 minggu itu ialah minggu cuti saya dan selama 4 minggu itu saya dan rakan-rakan meninggalkan keluarga dan berada di sini untuk meneruskan perjuangan bagi mendapat segulung ijazah.Syabas diucapkan kepada semua sahabat yang sanggup berkorban masa,tenaga dan wang ringgit demi mancapai sebuah kemajuan untuk diri dan memartabatkan lagi profesyen keguruan.
         Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul. Apapun sebagai manusia dan hamba Allah yang diberi peluang ini,jangan kita sia-siakan peluang ini. Lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.Pelbagai suka duka kita alami sepanjang 4 minggu ini. Ada cerita gembira dan ada cerita sedih.Cerita yang sedih hendaklah kita jadikan iktibar dalam memantapkan lagi keimanan kita. Cerita gembira menjadi semangat untuk kita teruskan perjuangan ini.
        Walaupun begitu, kita masih ada lagi rintangan yang perlu dihadapi iaitu peperiksaan akhir semester 6 yang akan berlangsung pada 19,20, dan 21 Disember ini.Meskipun banyak sudah pengalaman yang kita lalui untuk menghadapi peperiksaan, namun harus diingat persediaan perlu dilakukan kerana gagal peperiksaan bermakna akan gagal subjek semester 6.Oleh itu carilah ruang untuk kita memanfaatkan masa yang ada selama 3 hari lagi untuk melakukan persediaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan,sediakan perahu sebelum bah.
         Sebagai insan biasa,kita bukanlah insan yang sempurna dan memiliki segalanya. Disamping berusaha mengulangkaji pelajaran,bermohonlah petunjuk dan hidayah daripada yang Maha Kuasa Allah swt kerana Dialah sahaja yang dapat memberi pertolongan.Tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada kuasanya. Oleh itu marilah rakan-rakan semua bermunajat dan bermohon kepadaNya agar kita semua beroleh kesenangan dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dan memperolehi kejayaan pada akhirnya/
         Kepada pensyarah-pensyarah, kami memohon ampun dan maaf andai bersama dengan anda semasa menuntut ilmu yang anda berikan ,ada kekasaran bahasa,terumpat dimana-mana atau terfitnah sedikit sebanyak yang kami lakukan. Sesungguhnya sebagai pelajar dengan gurunya ,kami amat menghormati anda semua namun terkadang sendagurau kami boleh juga menyakiti hati secara tak disengajakan. Kepada rakan-rakan sekuliah ,saya juga secara peribadi ingin memohon ampun dan maaf andai selama bersama abang-abang,kakak-kakak dan adik-adik ada perkara-perkara yang saya lakukan menyakiti hati kalian. Saya akui bahawa saya memang nakal dan sedikit berseloroh semasa berada bersama kalian semua.Halalkan segala yang terminum dan termakan di dalam kelas atau di luar kelas.Sama-samalah kita berdoa agar kita semua akan berjaya di dalam peperiksaan nanti.