Isnin, 12 Disember 2011

Melangkah ke semester baru- Sem 7

Gambar kenangan kelas PGSR RBT Nov 2008 di Kolej Komuniti Sg Petani

Alhamdulillah dapat berehat di rumah selama 2 hari. Diam tak diam akhirnya pada hari ini kami sekali lagi diberi kekuatan untuk meneruskan pengajian di IPG Perlis ini dalam semester yang baru. Semester 7 rupanya kami ni. Lagi satu semester kami akan menamatkan pengajian ini. Namun dalam keriangan ini harus diingat pengajian di semester 6 belum lagi tamat. Peperiksaan semester 6 akan berlangsung pada 19, 20 dan 21 Disember ini. Apapun kami harus teruskan juga usaha yang sedar tak sedar dah 3 tahun berlalu.
       Pensyarah pula sering menceritakan tentang majlis konvokesyen yang akan berlaku pada tahun 2013. Bagi aku itu tak penting,yang penting bagaimana harus aku dan rakan-rakan menghadapi peperiksaan dan kuliah dalam semester ini. Jam 8.00 pagi tadi kami semua peserta program PGSR diarahkan masuk ke dalam dewan untuk satu sesi kuliah bergabung tentang satu subjek iaitu Kajian Tindakan ( Kaedah ). Kuliah tersebut telah disampaikan oleh En. Bustamam yang cukup asing bagi aku. Aku sebelum ini belum pernah melihat wajah pensyarah ini. Penerangan yang diberikan agak kabur kerana kami baru sahaja datang dari kampung,tambahan pula masuk agak lewat sedikit sebab baru diberitahu kata kuliah bergabung. Walau bagaimanapun saya cuba juga memahami apa yang disampaikan. Hingga akhir barulah saya faham bahawa kami dikehendaki menyediakan proposel tentang satu kajian tindakan berdasarkan permasalahan yang berlaku kepada diri kami di sekolah dan mencari cara-cara penyelesaiannya.
        Selepas tamat sesi kuliah itu,kami masuk pula ke bilik autoCad dimana kuliah seterusnya disambung oleh en.Abdullah tentang subjek Kajian Tindakan juga. Penerangan Pak Lah lebih jelas lagi dan cek Lah banyak memberi contoh-contoh tentang bagaimana hendak melakukan kajian tindakan. Semoga kami semua dapat melakukan kajian ini dengan jayanya.
       Selesai sahaja subjek kajian tindakan,pensyarah lama kami masuk dan meneruskan satu subjek iaitu Rekabentuk Berbantu Komputer. Ini merupakan satu subjek yang asing juga bagi diriku. Walaupun begitu aku gagahkan juga untuk menerima ilmu baru ini. Setelah melakukan unjuran tiga lukisan kejuruteraan dengan menggunakan manual. Aku mula faham bagaimana hendak melukis pandangan depan,sisi dan atas. Alhamdulillah aku dan rakan karibku dapat menyiapkan latihan yang diberikan setakat yang kami mampu.
       Alhamdulillah juga pada semester ke-7 ini aku terserempak dengan bekas pensyarahku Dr Hamzah yang kini menjawat jawatan penolong pengarah di IPG Perlis ini. Lama sudah aku ingin berjumpa dengannya. Namun tidak berpeluang. Namun hari ini dengan takdir Allah aku sempat berjumpa,bersalaman dan berpelukkan dengannya. Syukur kehadrat Allah kerana menunaikan hajat aku yang tersimpan sejak semester 1 dulu. Kelihatan Dr. Hamzah masih seperti dirinya yang aku kenali dulu. Seorang yang periang dan merendah diri. Betullah seperti kata pepatah " Ular walaupun menyusur di bawah akar tidak akan hilang bisanya". Bagi diriku Dr. Hamzah merupakan antara orang yang hebat pernah aku kenali.
       Apapun semester baru ini menampakkan keceriaan kepada semua rakan sekuliahku. Kami terasa sungguh akrab dan bersemangat untuk meneruskan usaha ini hingga ke semester akhir. Memang berat mata memandang,namun berat lagi orang yang memikulnya. Apapun kami sukses dan memohon kehadrat Allah agar Dia mempermudahkan pengajian kami hingga ke Akhirnya.