Rabu, 7 Disember 2011

                                             GAMBAR KENANGAN ARWAH AYAH SAYA
                                                                  BAHARI BIN SAID

Hari ini aku sempat berbual dengan beberapa orang rakan sekelasku yang mengikuti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah Reka Bentuk dan Teknologi bersama dengan mentor kami Tn Hj Ismail b. Baharuddin. Kami berbual tentang kematian. Yalah semua yang hidup pastinya akan mati. Bila hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. 2 hari lepas adik ipar rakan saya Pn. Rohana Rahmat telah meninggal dunia di Melaka akibat kemalangan jalan raya. Khabarnya dia menunggang motosikal dan berlanggar dengan sebuah lori. Selepas itu rakan sebilik saya kematian bapa saudaranya kerana sakit jantung.Semalam bapa kepada rakan kami iaitu Pn. Norlia pula kehilangan bapanya yang tercinta.Tiga hari berturut-turut saya menerima berita kematian. Selepas berbual-bual dengan mentor kami, beliau bertanyakan kami sama ada kami masih mempunyai ibu dan bapa. Saya beritahu bahawa saya cuma tinggal ibu sahaja. Dia berpesan dengan penuh keikhlasan supaya semua yang masih ada ibu bapa supaya dapat berbakti kepada mereka selagi mereka masih hidup.Inilah peluang yang kita ada untuk berbakti kepada mereka.

               Bila cukup tempoh,kamipun masuk ke kelas. Perbualan tentang kematian dan ibu bapa masih diteruskan lagi. Akhirnya saya sempat bercerita kepada 4 orang rakan tentang bagaimana saya kehilangan ayah yang saya sayang semasa saya bertugas di pedalaman Pahang dulu. Kehilangan ayah tidak sempat saya tatapi wajahnya buat kali terakhir. Oleh kerana perhubungan yang tidak baik pada masa itu menyebabkan saya tidak sempat sampai ke rumah semasa hari pengkebumiannya. Semoga Ayah telah mengampunkan dosa-dosa anakmu ini.

                Sememangnya ketentuan Allah , tidak ada kuasa lain yang dapat mengubahnya. Peristiwa ini tidak dapat ditarik kembali.Apapun saya redha dengan ketentuan ini. Itulah ada orang sempat bersama ayah tersayang hingga ke akhirnya dan ada yang sebaliknya. Seorang rakan saya bernama Kasim juga menceritakan tentang kematian ayahnya pula. Dia terpaksa balik ke Perak dari Felda Bukit Sagu Pahang kerana kematian ayahnya dengan memandu kereta KE35 yang tiada wiper semasa hujan lebat. Cuba anda bayangkan dengan suasana malam dan hujan lebat.

                Itulah secebis kisah yang dapat diceritakan untuk tatapan pembaca blog ini. Sebelum saya akhiri penulisan ini.Pesan saya berbaktilah kepada kedua orang tua kita yang masih hidup kerana jika kita kehilangan mereka bermakna kita kehilangan terus dan tiada pengganti di dunia ini.Sekiranya mereka tiada lagi maka janganlah jemu-jemu mendoakan kesejahteraan mereka di alam barzahk.